15875115_933857640081710_9136556896830587343_o
Buku terbaru keluaran Abideen Books

Sebelum kita meninjau apakah manfaat menulis buku non-fiksyen, apa kata kita semak beberapa senario di bawah :

  • Mahukah anda dikenali orang ramai sebagai pakar rujuk dalam sesuatu bidang?
  • Mahukah anda menjadi seseorang yang ditunggu-tunggu mengulas sesuatu isu?
  • Mahukah anda sekiranya buku yang anda tulis membolehkan anda dibayar untuk bercakap mengenai bidang tersebut

Cukup tiga dahulu buat masa ini.

Ada banyak justifikasi mengapa seseorang mengambil keputusan untuk menulis buku non-fiksyen (selepas ini saya sebut buku sahaja ya). Ya, tidak mudah untuk mula menulis di atas kertas kosong atau skrin komputer yang kosong sehingga siap. Tanya sahaja mana-mana editor daripada mana-mana syarikat penerbitan, itu adalah antara cabaran paling besar yang mereka perlu hadapi untuk mendapatkan karya non-fiksyen “on-time” mengikut jadual penerbitan.

Mahu menulis dan mampu menulis adalah dua aspek yang berbeza. Kemampuan menulis pula bersangkutan dengan MOTIF mengapa mahu menulis.

Mari kita tinjau apakah manfaat-manfaat yang anda dapat dengan menulis buku.

Saya sedang menyiapkan sebuah e-book “Menulis Buku Non-Fiksyen : Menukar Fikiran kepada Tulisan”. Sekiranya anda berminat mendapatkannya, boleh whatsapp Nama Penuh & Emel ke 018-2590677.

KEMASYHURAN

Bayangkan anda sudahpun berjaya menerbitkan buku pertama anda. Kaver buku anda yang dikongsikan di Facebook Page mendapat ribuan “Like” dan “Share” di samping ucapan tahniah tidak putus-putus daripada rakan dan peminat. Ketika itu anda menjadi lebih rajin melawat ke kedai-kedai buku untuk memeriksa duduk letak buku anda di rak, dan “update” untuk rujukan peminat-peminat yang mencari-cari buku anda. Bayangkan juga anda akan menandatangani autograf buat pembeli buku anda.

Dalam aspek ini, buku anda menjadi ibarat pintu yang melorongkan anda mendapat manfaat berikut :

  • Membina kredibiliti : Buku yang anda tulis menjadi suatu testimoni yang kuat bahawa anda memiliki pengetahuan dalam bidang tersebut dan bersedia mempertahankan hujah anda di khalayak ramai. Semakin banyak buku yang anda tulis, semakin meningkat nilai anda di mata masyarakat dan lebih banyak peluang anda perolehi untuk menyebarkan pengetahuan.
  • Pakar rujuk : Apabila buku anda sudah diterbitkan, hasil promosi yang dibuat akan memancing perhatian para pengamal media, samada TV, Radio, forum-forum dan seumpamanya. Kesemua media ini merupakan saluran menyampaikan ilmu dan maklumat, yang semestinya mahu mendapatkan tokoh-tokoh dan pakar rujuk untuk bercakap di pentas mereka. Saluran-saluran sebegini biasanya percuma dan berkesan digunakan untuk melebarkan pengaruh anda.
  • Program-program berkaitan buku : Salah satu aktiviti rumah penerbitan bagi mempromosi buku anda ialah mengadakan sesi bersama penulis yang mana peminat boleh datang mendengar sinopsis buku dan mendapatkan autograf bagi pembelian mereka. Anda boleh menjadikan program sebegini untuk mendapatkan maklumbalas langsung bagi memperbaiki penulisan anda untuk buku berikutnya.

Adakah menulis untuk kemasyhuran itu motif yang salah? Tidak juga. Ada sesetengah penulis meletakkan kemasyhuran itu sebagai pendorong dan pembakar semangat untuk menyiapkan penulisan buku. Tetapi kemasyhuran ini adalah motif jangka pendek yang perlu disusuli dengan motif jangka panjang yang lebih tinggi.

KEKAYAAN

Tidak dinafikan, buku boleh menjadi salah satu cara menjana pendapatan pasif. Tetapi, sebagaimana bisnes yang lain, kejayaan sesebuah buku untuk menjana kekayaan adalah terikat kepada banyak faktor. Ia tidak semudah yang disangka sesetengah mereka yang meletakkan “expectation” yang terlalu tinggi tanpa mengukur banyak perkara. Tetapi saya tidak akan mengulasnya lebih lanjut di sini.

Motif menulis untuk kaya adalah motif yang boleh mendorong seseorang untuk merancang penulisan sehingga siap. Dalam hal ini, ada sedikit kelebihan menulis di dalam genre non-fiksyen berbanding fiksyen. Cabaran buku-buku fiksyen ialah untuk memenangi persaingan dengan bentuk hiburan lain seperti menonton filem di panggung wayang, membawa keluarga ke Zoo Negara dan seumpamanya.

Manusia zaman ini semakin sibuk dan kesempitan masa. Masa adalah emas. Buku-buku non-fiksyen yang berpotensi ialah buku-buku yang menawarkan penyelesaian dan informasi bernilai tinggi bagi menjimatkan masa dan duit. Melalui strategi yang betul, pelanggan sanggup membayar apa sahaja dan meluangkan masa mempelajari ilmu yang terkandung di dalam buku anda.

LEGASI PERIBADI

Selain kemasyhuran dan kekayaan sebagai manfaat menulis buku, satu manfaat yang tinggi dan jauh ialah menjadikan buku sebagai alat membina legasi peribadi anda. Buku adalah corong suara yang mampu menyampaikan mesej anda ke seluruh dunia. Buku adalah bayangan pendirian yang dibuat oleh penulis. Buku adalah tanggungjawab menyuarakan pandangan untuk kebaikan.

Buku juga mampu menjadikan kita hidup selama-lamanya. Benarkah?

Ini pandangan Pramoedya Ananta Toer, seorang tokoh penulis di Indonesia :

“Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk KEABADIAN.”

Inilah serba ringkas apakah manfaat menulis buku non-fiksyen kepada anda.

Saya sedang menyiapkan sebuah e-book “Menulis Buku Non-Fiksyen : Menukar Fikiran kepada Tulisan”. Sekiranya anda berminat mendapatkannya, boleh whatsapp Nama Penuh & Emel ke 018-2590677.

Semoga artikel ringkas ini ada kebaikan buat anda dan bantu sebarkannya kepada rakan-rakan.

Terima kasih

 

AHMAD SHAKIR BIN SALLEH

Pengarah Editorial

Abideen Books

018-2590677

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *