15875115_933857640081710_9136556896830587343_o
“Banyak sangatlah apa yang disampaikan oleh al-Quran.”

“Tajuknya melompat-lompat.”

Ketika seronok mendapat SMS dari insan yang dicintai, apa sahaja topik disukai. Hatta dapat ‘warning’ dari orang lain melalui insan yang dicintai, kita akan ambil kisah dan perhatian. Sudah tentu apabila mendapat surat dari Yang Maha Menyayangi, ia perlu diberi perhatian. Tidak rasa ‘banyak’ atau ‘melompat-lompat’ kerana ada satu tema utama – Yang Dicintai. Bukan topik yang dilihat semata-mata, tetapi dilihat kepada dari siapakah ia hadir.

Jika dilihat kepada banyak topik dari yang dicintai, kita akan mudah rasa serabut.

Namun jika kita melihat kepada satu-satunya insan yang disayangi, kita akan rasa amat seronok.

Itulah cara pandang kepada al-Quran. Orang yang tidak bercinta dengan Allah, akan rasa bahawa surah dalam al-Quran amat banyak. Ayatnya banyak sangat: lebih 6000.

Apabila cinta sudah mekar, lebih 6000 itu menjadikan musim bunga dalam hati.

Bagaimana memulakan kecintaan?

Cinta yang satu – Allah. Tahu topik menarik dengan Yang Satu. Tahu apa yang Dia suka dan tidak suka. Tahu apakah sebab perlu bersyukur dan meletakkan Allah sebagai yang paling dicintai – tiada seteru atau tandingan.

Apabila topik hanya satu – kecintaan kepada Allah, maka selepas itu boleh kembangkan.

Iyyaka na’budu waiyyaka nastaeen

Sudah kenal Allah, boleh kembangkan kepada tiga perkara:

  1. Allah
  2. Qiamat  atau ke akhirat
  3. Siraath atau jalan hidup

Intipati 3 perkara ini disimpulkan dalam ayat Iyyakana’ budu waiyyaka nastaeen. Padamu ya Allah, kami beribadah dan padaMu ya Allah kami memohon pertolongan. Ini ialah intipati dalam Surah al-Fatihah.

Jika 3 topik ini sudah dibiasakan dalam hidup, ia sudah bersedia untuk dikembangkan kepada setiap ayat dalam surat cinta dari Sang Ilahi.

Sinopsis setiap Juzu’ dan Surah

Mana mungkin baca surat cinta tetapi tidak faham, Kalau tidak faham, ia tidak akan dibaca berulang kali. Ia akan dibaca dengan gaya ‘musim gugur’. Pergi berjumpa dengan Si Kekasih tetapi tidak memahami apa yang diujarkan adalah satu tragedi.

Paling kurang sinopsis setiap surah dan juzuk dalam al-Quran perlu diusahakan.

Bagi yang tidak cinta lagi, ia sebagai satu pengenalan.

Bagi yang sudah cinta namun tidak memahami surat-surat yang ada sebanyak 114 pucuk, ia sebagai langkah pengenalan.

Setelah nampak ‘sneak peek’ atau ‘trailer’, ia pasti akan mengujakan sesiapa sahaja untuk melihat serta mengalami secara keseluruhan apa yang disampaikan oleh Yang Maha Pengasih.

Akan ternanti-nanti. Akan rasa amat menggamit perasaan surat yang dihantar oleh Yang maha Pengasih ini.

Baca demi baca sampai ketagih

Apabila sudah ada sneek peek dan baca secara keseluruhan, ia akan menyebabkan pelbagai dimensi ayat dalam surat akan dianalisis. Apa kaitan surat 1 dengan surat 2. Apa kaitan surat 2 dengan surat 114. Apa kaitan awal surat dengan hujung surat.

Baca demi baca

Faham demi faham sampai ketagih dan ingin ‘diedarkan’ kepada orang lain

Ia bukan untuk baca tetapi faham dan diamalkan.

Yang terbaik di kalangan kamu ialah belajar dan mengajar al-Quran. Mengajar itu sampai ia menjadi amalan – kerana itulah konsep ilmu dalam Islam. belajar tanpa amalan belum lagi menjadi ilmu. Sekadar maklumat.

Quran sebagai kalam Allah

Apabila Quran sudah difahami sebagai kalam Allah, bukan ‘terpaksa’ baca untuk dapat pahala, usaha untuk membaca dan memahaminya akan menjadi lebih mudah. Bukan sekadar tercari-cari pahala, tetapi kerana mencari-cari manakah bahagian yang dijemput oleh Yang maha Pengasih untuk dijamah oleh tetamu Allah.

Sesungguhnya Quran ialah hidangan-hidangan Allah. Jangan segan untuk menikmatinya, namun memang ramai yang sudah hadir ke majlis jamuan namun ditolaknya mentah-mentah padahal memang perut lapar. Mengapa tolak? Tidak faham bahasa jamuan tersebut.

Fazrul Ismail
CEO Akademi Sinergi Ikhlas Sdn. Bhd.


Dapatkan buku terbaru Nikmatnya Tadabbur Tazakkur oleh Fazrul Ismail & Ariff Jauhar Iskandar bagi memulakan perjalanan menuju dakapan hidayah Ilahi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *