Dalam kehidupan kita sentiasa melakukan interaksi – antara guru dengan murid, suami dengan isteri, anak dengan ibu bapa, atau rakan dengan rakan. Setiap interkasi berbeza keperluannya, namun tujuan interaksi sosial itu tetap sama iaitu menghadirkan kesejahteraan dalam kehidupan.

Selain interaksi sosial, manusia juga memerlukan interaksi spiritual. Bagi kaum muslimin salah satu interakasi sebagai ibadah adalah interaksi antara dirinya dengan kitab yang diimani, kitab al-Quran.

Berinteraksi yang dimaksudkan adalah hubungan dua hala, antara kita dengan al-Quran, dan antara al-Quran dengan kita. Masing-masing melakukan interaksi dan disambut dengan reaksi.

Al-Quran bukan sekadar kitab bacaan. Labih dari itu al-Quran berfungsi sebagai peringatan, penawar, petunjuk dan rahmat yang membawa kebahagiaan hidup manusia. Allah mahu manusia menyahut ajakan itu dengan bertadabbur dan bertazakkur kepada kitabNya.

Jika manusia ingin mendapatkan manfaat dan kebahagiaan yang besar, interaksi dengan al-Quran perlu ditingkatkan sehingga merasakan al-Quran dan dirinya saling berdialog. Syarat interaksi? Tadabbur dan tazakkur.

Makna Tadabbur

Perkataan Tadabbur berasal dari kata akar da-ba-ra. Perkataan ini disebutkan sebanyak 44 kali dalam al-Quran dalam pelbagai bentuk, antaranya bentuk kata kerja Yudabbiru – menyusun; mengatur. Adbara – membelakangi; berlalu. Manakala dalam bentuk Tadabbaru ianya membawa makna signifikasi berfikir atau bermeditasi keatas sesuatu dan berikhtiar untuk memahaminya.

Dalam konteks al-Quran, Tadabbur bererti merenungkan ke dalam ayat-ayat al-Quran, menghayatinya, mengkajinya, atau mempelajarinya berulang-ulang kali, agar dia dapat mengikuti apa yang ingin disampaikan ayat tersebut.

Dua kata yang dekat dan seerti dengan Tadabbaru adalah Tafahhamu (memahami) dan Tafakkaru (memikirkan). Tadabbur menghimpunkan pemikiran dan kefahaman kerana tuntutannya yang memerlukan seseorang mencari mesej dibelakang atau disebalik ayat sehingga ke hujungnya. Ketika dia mendapat kefahaman sesuatu ayat al-Quran, dia perlu pula mengikuti petunjuk tersebut samada dalam hal suruhan atau larangan.

 “Apakah tidak mereka berusaha merenungi al-Quran atau pada hati-hati mereka ada penutupnya?” (Muhammad, 47: 24)

Berinteraksi dengan tadabbur ialah kombinasi penggunaan akal dan hati dalam memahami, menghayati dan memikirkan setiap kata dan setiap ayat Al-Quran. Syarat untuk tadabbur tidak memerlukan seseorang menguasai pelbagai disiplin ilmu. Apa yang diperlukan hanyalah kejernihan hati dan akal.

Bolehkah Saya Bertadabbur?

Mentadabburi al-Quran bersifat suruhan bagi seluruh umat. Ianya merupakan kaedah yang dianjurkan oleh al-Quran sendiri. Itulah mengapa dalam tadabbur diperlukan keadaan hati yang bersih. Agar kita dapat mengambil hikmah atau makna terdalam pada al-Quran sehingga menghasilkan akhlak mulia seperti yang ada pada diri Rasulullah Saw.

Awal penurunan al-Quran adalah ditujukan kepada adalah kaum Arab yang terdiri dari golongan pedagang, peniaga, penternak, hamba abdi dan orang Badwi. Mereka bukanlah golongan terpelajar, bahkan mereka dikenali sebagai kaum buta huruf, kasar dan sentiasa berperang.

Kaum Arab ketika itu hidup di padang pasir yang amat dekat dengan suasana alam semulajadi. Ketika siang matahari memancar tinggi menghidupkan tumbuh-tumbuhan yang ditanam. Disekeliling mereka tersedia tumbuh-tumbuhan seperti zaitun untuk dijadikan minyak yang dapat dijual. Mereka juga bertani menanam buah-buahan, antaranya kurma dan anggur. Pada waktu malam langitnya cerah dipenuhi bintang-bintang dengan bulan bersinar menerangi pekat malam. Sangat rapat hubungan antara manusia dan alam dalam masyarakat Arab ketika itu.

Walaupun tersedia dibelai dengan alam semulajadi, apa yang ada disekeliliing itu tidak menjadikan mereka kaum yang berperadaban. Mereka tidak mampu memajukan diri malah sangat mundur adab dan budaya kerana pemikiran mereka dikontotkan dengan pelbagai tahyul, khurafat dan kesyirikan. Apabila khurafat meningkat, kezaliman juga menyelubungi masyarakat. Golongan miskin dan lemah ditindas dalam sistem kasta yang memuliakan orang berharta kerana mereka mampu memberi korban yang mahal-mahal kepada para berhala.

Bagi melepaskan masyarakat dari belenggu kezaliman inilah didatangkan al-Quran. Apabila Quran datang tidak menjadi kesukaran untuk mereka yang berakal dan berjiwa bersih beriman dengannya kerana ia disampaikan dalam bahasa yang jelas mereka fahami. Selain daripada Rasulullah Saw, mereka tidak memerlukan bantuan ahli bahasa, ahli kaji bintang, ahli yang pakar dalam zoologi atau pengkaji tumbuh-tumbuhan untuk mengambil pelajaran dari al-Quran.

Syarat Pertama Bertadabbur

Al-Quran menjadi berkesan kerana mereka bersedia menjiwai pesanan yang disampaikan. Mereka mencerap wahyu, dan mereka mencerap persekitaran mereka. Dan apa yang mereka temui adalah kedua-duanya bertemu pada titik yang sama, berasal dan menuju pada Tuhan yang satu. Tuhan yang menurunkan wahyu adalah Tuhan yang menciptakan alam, tentu apabila merenungi dan memikirkan dengan jernih akan menemui keharmonian.

Kalau ingin melihat fungsi tadabbur, generasi sahabat adalah bukti bagaimana tadabbur berupaya mengubah kehidupan manusia. Tanpa diberat dengan perbincangan yang panjang-panjang, juga penafsiran yang berjela-jela, sepotongan ayat al-Quran secukupnya masuk kedalam sanubari mereka.

Menautkan tadabbur dengan hati yang jernih ini penting kerana ianya menautkan ajaran wahyu dan nubuwwah. Bertadabbur adalah suruhan al-Quran dan mensucikan diri merupakan tugas kerasulan Muhammad Saw, yang mana kedua-dua tujuan akan bertemu semula kepada memahami dan mengamalkan kitab Allah.

“Dialah yang telah mengutus kepada kaum ummi seorang rasul dari kalangan mereka yang dia bacakan kepada mereka ayat-ayatNya dan mensucikan mereka, dan dia mengajarkan mereka kitab dan hikmah, meskipun mereka adalah sebelum itu benar-benar dalam kesesatan yang nyata” (al-Jumuuah, 62: 2)

Tazkiyyah atau membersihkan disini kata al-Marhum Prof Dr Hamka; Membersihkan jiwa mereka daripada kepercayaan yang karut, daripada akidah yang salah, daripada langkah yang tersesat, dan membersihkan pula badan diri mereka, jasmani mereka dari kekotoran. Kerana sebelum ini belum tahu apa erti kebersihan, sehingga diajar berwudhuk, diajar mandi junub, bahkan sampai diajar menggosok gigi.

Kebersihan diri zahir dan batin ini sesuai untuk berinteraksi dengan kitab al-Quran yang keberkatannya zahir dan batin juga.

Hikmah pula adalah Sunnah Rasulullah Saw, iaitu contoh teladan yang dilakukan beliau dalam pelaksanaan al-Kitab.

Syarat utama bertadabbur: Tazkiyyah. Bersihkan diri.

Semakin tinggi pendakian al-Quran ini kita akan menemui perbezaan tadabbur antara peranan umum dengan peranan khusus. Mereka yang ingin memperdalamkan pengetahuan tentang al-Quran akan mempertingkatkan pembelajaran mereka. Boleh jadi dengan belajar secara intensif melalui kursus dan pengajian di institusi pengajian tinggi.

 “Apakah tidak mereka merenungi al-Quran? Sekiranya ia daripada sisi selain Allah, pasti mereka mendapati di dalamnya pertentangan yang banyak” (an-Nisa’, 4: 82)

“Tidakkah mereka merenungkan perkataan (al-Quran) atau telah datang kepada mereka apa yang tidak datang kepada nenek moyang mereka yang terdahulu?” (al-Mukminun, 23: 68)

“Kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh berkah agar mereka merenungkan ayat-ayatnya dan agar mengambil peringatan orang yang memiliki akal dan hati yang bersih (Ululalbab)” (Sad, 38: 29)

Sebagai manusia yang berakal fikiran dan berperasaan luas, merenungkan ayat-ayat Allah tidak hanya berhenti pada al-Quran saja. Sebab, ayat-ayat Allah yang tidak terangkum dalam al-Quran juga Allah letakkan pada alam semesta.

 

 

*************************

Baca seterusnya dalam buku Nikmatnya Tadabbur Tazakkur tulisan Fazrul Ismail dan Ariff Jauhar Iskandar.

Link pembelian – https://abideenbooks.onpay.my/order/form/bukutadabbur

 

***********************

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *